MENJADIKAN AL-QURAN SEBAGAI TEMAN
Al-Quran adalah mukjizat yang kekal sehingga hari Kiamat, yang mana diturunkan kepada Nabi Muhammad solallahi alaihi wasalam. Moga dengan panduan Al-Quran akan bertambah ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dan lebih gigih dalam kita berusaha untuk memahami Al-Quran dan mengamalkannya. Kita telah ketahui bahawasanya membaca, mendengar dan menghayati Alquran adalah merupakan tanggungjawab terhadap Al-quran.Di sini, akan dikupas cara-cara dan panduan yang dapat kita amalkan agar Al-Quran itu menjadi sahabat dan teman karib kita.
Cuba renungkan, kita sebagai teman selalunya kita inginkan kebaikan untuk sahabat kita. Selain itu, sebagai teman kita ingin melihat sahabat kita berjaya. Dengan sikap ini, akan menjadikan kita sebagai wadah buat teman kita mengadu nasib, berkongsi kegembiraan dan kesedihan.
Begitu juga apabila kita mengambil Al-quran sebagai teman hidup kita. Al-Quran menjadi tempat rujukan kita. Al-Quran juga menjadi tempat mengubat segala kesedihan dan keresahan jiwa. Akhirnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan pertolongan kita di akhirat kelak.
Maka persoalannya bagaimanakah kita ingin menjadikan Al-Quran sebagai teman kita? Bagaimanakah kita ingin menjadikan Al-Quran tempat luahan hati kita yang resah? Bagaimanakah ingin kita jadikan Al-Quran sebagai teman yang akan menegur kita apabila kita lalai dan terlupa?
Sebagai permulaan dalam menjadikan Al-Quran sebagai teman. Hendaklah kita membaca Al-Quran dan terus membacanya. Bacalah Al-Quran dengan penuh adab dan ketekunan. Bacalah Al-Quran sehinggakan kita dapat membacanya dengan tartil. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Muzammil : 4
Maksudnya:”Dan perelokkanlah bacaan Al-Quran seelok-eloknya”
Jika kita belum tahu membaca Al-Quran maka belajarlah bersungguh-sungguh. Selain itu, mempelajari tajwid dengan betul.Semua ini boleh didapati dengan bertalaqi dengan guru yang memang arif dalam bidang Al-Quran. Sesungguhnya Allah s.w.t akan memberikan ganjaran yang setimpal bagi kita yang berusaha untuk membaca Al-Quran sepertimana di dalam sebuah hadis Rasulullah solallahi alaihi wasalam yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi :
Maksudnya” Orang yang mahir membaca Al-Quran mereka adalah bersama para Malaikat yang mulia lagi baik. Dan orang yang membacanya dan dia merasa payah ketika membacanya memang lidahnya berat menyebut huruf-hurufnya akan mendapat dua pahala.”
Letaklah dalam Jadual seharian kita masa untuk membaca Al-Quran. Letakkanlah satu tekad dimana setiap hari membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran. Mulakanlah dengan 5 atau 10 ayat. Amalkanlah perkara ini dan jadikanlah ia satu kebiasaan. Moga dengan amalan ini akan terbentuk satu hubungan yang rapat antara kita dan Al-Quran.
Dalam usaha kita untuk membaca Al-Quran, pastikanlah niat bersih dan suci. untuk mendapat hidayah dari Allah s.w.t dan juga keredhaanNya.
Bacalah Al-Quran dengan penuh kesedaran kerana ia akan menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Seperti mana Allah s.w.t dalam surah Al Anfal : 2
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka karenanya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."
Kita mesti membetulkan niat dahulu sebelum membacanya. Bacalah Al-Quran kerana Allah. Bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan sebagainya.
Ingatlah pesanan Rasulullah solallahi alaihi wasalam di dalam hal ini di mana Al-Quran bukan sahaja akan memberi syafaat bagi pembacanya malah boleh melaknati pembacanya. Seperti mana dalam sabda Nabi Besar kita Muhammad solallahi alaihi wasalam di dalam hadisnya:
“Neraka itu lebih dekat kepada pembaca Al-Quran yang fasiq daripada dekatnya kepada penyembah berhala”
Setelah kita dapat membaca Al-Quran dengan baik dan tartil. Langkah selanjutnya dalam menjadikan Al-Quran sebagai teman adalah memahaminya, dan mendalami isi kandungannya dan berkongsi manfaatnya kepada keluarga kita.
Ini satu tugas yang perlu kita usahakan agar kita dapat memanfaatkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran bagi diri dan keluarga kita.
Sepertimana Nabi Besar Kita Muhammad s.a.w di dalam hadisnya yang di riwayatkan Imam Bukhari:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”
Maka persoalannya disini bagaimanakah ingin kita memahami dan memanfaatkan Al-Quran dalam hidup kita. Sedangkan kita disini di sibukkan dengan pelbagai urusan-urusan pekerjaan dan masalah-masalah keluarga?
Pertama dan utama dalam usaha kita untuk memahami Al-Quran perlulah ada kesedaran akan kepentingan memahami Al-Quran. Kemudian kita perlu bertekad dan berusaha melakarkan pelan bertindak untuk mencapai matlamat kita iaitu memahami Al-Quran.
Halangan dan rintangan pasti ada dalam kita ingin mencapai cita-cita. Akan tetapi dengan semangat dan usaha yang kuat serta pertolongan dari Allah s.w.t segala cita-cita kita akan tercapai.
Sebaik-baik cara adalah dengan kita mulakan yang sedikit tetapi selalu di lakukan. Sama juga dengan bacaan Al-Quran, kita ambil sedikit masa dari jadual harian kita untuk kita memahami Al-Quran. Walaupun sibuk macm mana pun, ambillah waktu untuk membaca Al-Quran.
Bacalah tafsiran Al-Quran kemudian renungkannya. Cuba kaitkan apa yang telah kita baca dari Al-Quran dengan kehidupan seharian.Kalau perlu, kita mengulang-ulangkan bacaan sesuatu ayat serta maksudnya untuk kita lebih memahaminya dan menghayatinya.
Setelah kita memahaminya dan menghayatinya, berkongsilah pengalaman dan pemahaman kita terhadap ayat-ayat suci Al-Quran dengan keluarga dan sahabat handai. Adalah sangat penting pemahaman itu disertai dengan pembelajaran ilmu yang benar-benar mendalam.
Matlamat yang terakhir dari pemahaman kita terhadap Al-Quran adalah bertambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.
Pastinya dengan kuatnya Iman dan taqwa, pengamalan dan peribadi kita akan berlandaskan Al-Quran. Kita juga akan bertambah rapat dengan Al-Quran. Dan akhir sekali Al-Quran akan menjadi teman dan penyuluh hidup serta menjadi syafaat di Akhirat kelak.
moga diri ini dapat menambah kecintaan pada al-quran...sesungguhnya..cahaya al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian dan kebahagiaan. Al-Quranlah sebagai teman yg setia..
ReplyDeletesemoga Al-quran menjadi panduan dalam hidup kita.... marilah kita sama2 mempelajari serta beramal dengannya....
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian...Sesunggunhya Al-Quran adalah mukjizat yang tidak ternilai harganya...jadi kita sebagai umat islam haruslah memanfaati setiap detik kehidupan ini dengan beribadat kepada Allah s.w.t
ReplyDeletesemoga hidup kita sentiasa dirhamati oleh Allah s.w.t
Alquran kalam Allah yg suci,,moga dgn kta mjdkan alquran sgai tmn hidup akan diberi gnjrn oleh Allah diakhirat kelak.
ReplyDelete